Monday 24 October 2011

Perdagangan dengan Jerman tidak terjejas


KUALA LUMPUR 23 Okt.- Perdagangan dua hala di antara Malaysia dan Jerman dijangka tidak terjejas walaupun negara tersebut terletak di zon Eropah yang sedang hebat dilanda krisis ketika ini.

Pengurus Besar Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia-Jerman, Thomas Brandt berkata, persekitaran ekonomi Jerman masih baik dan merupakan salah satu negara di Eropah yang masih stabil walaupun berdepan dengan situasi sukar ketika ini.

" Saya tidak ada mempunyai statistik yang lengkap namun ekonomi Jerman masih lagi tumbuh dan kami masih lagi mengeluarkan peralatan-peralatan baharu yang berteknologi tinggi," katanya kepada Utusan Malaysia ketika diminta mengulas sama ada angka perdagangan dua hala di antara kedua-dua negara akan merosot disebabkan oleh krisis ekonomi global ketika ini.

Perdagangan dua hala di antara Malaysia-Jerman berjumlah AS$12 bilion (RM37.2 bilion) pada tahun lalu dengan eksport ke negara tersebut adalah AS$5.4 bilion (RM16.74 bilion) ataupun 25.3 peratus daripada eksport Malaysia ke Kesatuan Eropah (EU). Ia sekali gus menjadikan Jerman sebagai pasaran eksport kedua terbesar di EU.

Jerman juga adalah sumber import terbesar Malaysia di kalangan negara anggota EU dengan nilai AS$6.6 bilion (RM20.46 bilion) atau 39.4 peratus daripada keseluruhan import.

Tahun lalu, syarikat-syarikat Jerman telah melabur AS$5.2 bilion (RM16.12 bilion ) bagi melaksanakan 339 projek terutama di dalam elektrik dan elektronik, kimia dan produk kimia, petroleum dan produk petroleum, produk asas besi, jentera dan peralatan.

Menurut Brandt, selain itu, kerjasama kedua-dua negara turut meneroka pasaran teknologi hijau dan terbaru adalah pembuatan roti.

"Jerman terkenal dengan penghasilan peralatan dan jentera yang canggih termasuklah mesin pembuat roti, jadi kami menjemput usahawan-usahawan Malaysia untuk melihat sendiri dan belajar mengenainya," ujar beliau lagi.

Tambah Brandt, usahawan tempatan perlu lebih banyak ke luar negara untuk mencari peluang perniagaan, mendapatkan idea-idea baharu dan belajar mengenai teknologi terkini untuk digunakan di Malaysia berbanding mengambil sikap menanti peluang tersebut datang kepada mereka.

Malah Brandt turut menjemput usahawan-usahawan Malaysia terutama yang terlibat di dalam pembuatan roti dan bakeri supaya menghadiri pameran perdagangan antarabangsa untuk roti dan kek, IBA 2012 di Munich, Jerman September tahun depan.

Menurut beliau, perkembangan positif industri itu di Malaysia seharusnya menjadi pendorong kepada pengusaha tempatan untuk menambah pengetahuan dan memperolehi idea yang lebih baik serta unik bagi mengukuhkan lagi pertumbuhannya.

"Mereka boleh belajar daripada Jerman kerana industri roti dan kek di sana sudah maju dan menggunakan peralatan terkini yang mampu meningkatkan kapasiti serta dijamin lebih bersih," katanya.

Tahun lalu, industri bakeri Jerman merekod keseluruhan jualan sebanyak 12.93 bilion euro (RM55.46 bilion) dengan 14,594 perniagaan di samping menyediakan 293,300 pekerjaan.

MyAgrosis manfaat kawasan tanah terbiar dalam IPTA


24/10/2011 4:46pm

SUNGAI PETANI 24 Okt. – Kelab Usahawan Siswazah Tani (MyAgrosis) akan memanfaatkan kawasan tanah kosong atau terbiar dalam kawasan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dengan aktiviti pertanian secara ladang kontrak.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, buat permulaan, kelab akan menumpukan kepada tanaman pelbagai sayuran seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kita nak gunakan tanah terbiar sebab sekarang di negara kita 60 peratus sayur ditanam di tanah setinggan (tidak kekal) dan tidak ada tanaman sayur secara ladang. Macam di UiTM (Universiti Teknologi Mara) Merbok ini ada 170 ekar (68.8 hektar) tanah kosong.

"Kalau dirancang dengan baik, ia boleh jadi ladang kontrak sekali gus menampung masalah bekalan sayur dari negara jiran,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Kelab MyAgrosis Kedah, di UiTM Merbok dekat sini hari ini.

Beliau berkata, buat permulaan, sebanyak RM34 juta diperuntukkan bagi menjayakan projek itu, iaitu RM10 juta masing-masing disediakan Agrobank dan Tekun Nasional, manakala RM14 juta lagi oleh kerajaan yang diumum menerusi Belanjawan 2012 bagi program ladang kontrak. – Bernama

90 peratus peminjam TEKUN di Kedah bayar balik pinjaman


ALOR SETAR 23 Okt. - Sikap bertanggungjawab para peminjam Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) di negeri ini semakin meningkat apabila kira-kira 90 peratus daripada mereka berjaya melangsaikan pinjaman mengikut jadual ditetapkan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, jumlah peratusan itu sekali gus menjadikan negeri ini berada pada kedudukan tertinggi membayar balik pinjaman untuk tiga bulan berturut-turut mulai Julai lalu.

Beliau berkata, sikap berkenaan memudahkan peminjam membuat pinjaman susulan selain membantu TEKUN mendapat pusingan modal mencukupi untuk diberikan kepada pemohon lain.

"Saya berharap peniaga dapat mengekalkan sikap membayar balik pinjaman mengikut jadual manakala mereka yang masih gagal berbuat demikian perlu lebih bertanggungjawab.

"Sikap liat membayar hutang hanya menyusahkan termasuk kepada usahawan kecil lain yang memerlukan bantuan tabung ini untuk mengembang atau memulakan perniagaan," katanya selepas merasmikan program Juara Rakyat (Karnival Pertanian) Parlimen Alor Setar di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA Tajar di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Abdul Rahim Salleh dan Pengurus TEKUN Kedah, Mohamad Saidi Azizan.

Menurut Ahmad Bashah, TEKUN mengeluarkan pinjaman sebanyak RM22.7 juta kepada 2,364 usahawan di negeri ini sejak Januari hingga 31 Ogos lalu bagi membantu mereka menjalan atau mengembangkan perniagaan.

Katanya, jumlah pinjaman yang diberikan itu melepasi sasaran iaitu RM16 juta bagi tahun ini dan pembiayaan masih diteruskan.

"Secara keseluruhan, sebanyak 18,161 peniaga negeri ini dibantu melalui pembiayaan TEKUN berjumlah RM162.33 juta sejak 1998," ujar beliau.

Sementara itu, Mohamad Saidi memberitahu, pihaknya mengambil pelbagai pendekatan baru dalam usaha memastikan para peminjam TEKUN lebih bertanggungjawab dalam melunaskan hutang masing-masing secara berterusan dan mengikut jadual.

Antaranya kata beliau, ialah dengan memperbanyakkan program turun padang dan kesedaran selain memberi khidmat nasihat serta mendekati peniaga secara terus.

RM20j majukan industri kraf

MUSA Aman (dua dari kiri) bertanya sesuatu kepada Harman Mohammad
mengenai satu ukiran kayu di Dewan Masyarakat Tawau, kelmarin.

TAWAU 23 Okt. – Kerajaan negeri akan terus komited membangunkan industri kraf tangan di negeri ini dengan memanfaatkan peruntukan RM20 juta yang disalurkan oleh kerajaan Persekutuan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, industri itu akan dipastikan dapat bergerak seiring dengan hala tuju negeri yang memfokuskan kepada sektor pertanian, pembuatan dan pelancongan.

“Bagi mencapai hasrat itu, kerajaan kini giat membina Pusat Kraftangan Sabah di Keningau di bawah Koridor Pembangunan Sabah (SDC).”

“Apabila pusat itu siap kelak ia bakal menjadi pusat pemprosesan dan pengumpulan kraf tangan berteknologi terkini yang berkualiti secara lebih efisien,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Kraftangan Peringkat Zon Pantai Timur Selatan anjuran Kumpulan Yayasan Sabah di Dewan Masyarakat Tawau di sini, semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulabayan, Datuk Harman Mohammad.

Tambah Musa, kerajaan juga giat memajukan program pembangunan usahawan kraf tangan di bawah konsep Satu Daerah Satu Industri yang bermatlamat melahirkan lebih ramai usahawan dan meningkatkan nilai jualan produk kraf tangan.

Katanya, ia amat tepat memandangkan Sabah direkodkan sebagai negeri yang memiliki pengusaha kraf tangan paling ramai di negara ini iaitu 2,182 orang pada tahun lalu.